andhika | tharuna

"sekelumit kisah [ SUKA & DUKA ] anak penghujung benua"

Friday, November 30, 2007

Aku di Tanah Yang Tergadai…




















Wahai Elopura

Namamu pernah mekar sebabad yang lalu

Kau didamba para penjajah

Kau dijulang para pedagang

Keringatmu amat berjasa kepada tanah Borneo ini

Kini kau masih gagah merentas waktu

Walau Jesselton mengambil alih tampuk perintahmu

Sabarlah wahai tanah yang digadai…

Salam Borneo! 30 November 2007 – Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Hari ini hari terakhir aku di Negeri Di Bawah bayu sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Rindu rasanya ingin menghidu angin di Putrajaya, walaupun ku akui udara di sana lebih tercemar jikalau hendak dibandingkan dengan di sini. Alhamdulillah sejak berada di sini kesihatanku sentiasa terjamin. Cuma sengal-sengal badan disebabkan ‘berpindah-randah’ dari satu hotel ke satu hotel dan dari satu bandar ke satu bandar. Kali ini aku tidak banyak berjalan atau membeli belah seperti yang lazimnya kulakukan andainya ‘outstation’. Masa terluangku banyak dihabiskan di bilik hotel dan panggung wayang kerana kebetulan hotel penginapanku berhadapan dua buah panggung wayang iaitu GSC dan Cathay. Aku sempat menonton Beowulf di GSC manakala Hitman di Cathay. Komen aku tentang dua filem ini? Kedua-duanya hebat tapi aku lebih menyukai Beowulf kerana teknik CGI yang 100% digunakan di dalam menghasilkan filem ini. Aku paling suka watak ibu Grindell yang menggunakan suara latar Angelina Jolie! Memang sesuai sangat watak itu dengan personality Angelina Jolie yang seksi dan menggoda! Ole-ole dari Sabah, aku hanya membeli makanan tradisional masyarakat Sabah iaitu empelang (keropok ikan berbentuk bebola dari Tawau) dan kuih cincin (dari Papar) untuk keluarga dan teman-teman di Semenanjung. Untuk diriku sendiri aku hanya membeli siput-siput hiasan di pasar malam disebelah Pasar Filipina. Semakin bertambah koleksi siput-siputku di rumah dan di pejabat yang kubeli dari Pangkor, Langkawi, Tioman, Sarawak dan juga Sabah sebelum ini. Ada juga hasil pemberian dari kawan-kawan yang mengetahui kegemaran aku mengumpul siput. Terima kasih banyak-banyak! Pesan buat teman-teman, jika hendak membeli siput-siput hiasan jangan di beli di Pasar Filipina kerana harganya jauh lebih mahal berbanding di luar pasar tersebut. Memang benar sekali. Harga siput yang ku beli semalam hanya RM8.50 jikalau hendak dibandingkan dengan harga di dalam Pasar Filipina yang boleh mencapai harga puluhan ringgit! Alasan peniaga di Pasar Filipina ialah siput-siput yang dijual oleh mereka telah dibersihkan dan tidak berbau. Aku akui ianya memang benar, siput di pasar malam hanya dicuci secara biasa dan adakalanya berbau busuk tetapi aku tidak hiraukan sangat kerana setiap siput yang kubeli akan aku rendam semalaman dengan air sabun sebelum dikeringkan. Ini lebih menjimatkan dari membeli siput yang mahal di pasar Filipina. Seperkara lagi, harga mutiara di pasar tersebut sudah semakin mahal jika hendak dibandingkan ketika aku berkunjung dua tahun yang lepas tetapi ianya tetap laris kerana harganya jauh lebih murah sekiranya hendak dibeli di Semenanjung. Ada dua jenis mutiara yang diperniagakan di sini, pertama ‘sea water pearl’ atau mutiara air laut dan yang kedua ‘fresh water pearl’ atau mutiara air tawar. Apa yang membezakannya ialah harga dan teknologi yang digunakan bagi menghasilkannya. Harga untuk ‘sea water pearl’ tentunya kita berfikir banyak kali sebelum mengeluarkan duit dari poket. Seutas rantai mutiara putih berharga RM500-RM1000 manakala mutiara hitam lebih mahal dari itu. Bagi yang mahu mendapatkan mutiara yang murah, tentunya ‘fresh water pearl’ jadi pilihan. Melalui namanya sahaja kita sudah dapat mengagak bagaimana kedua-dua jenis mutiara ini diperolehi. Mutiara air laut dihasilkan menggunakan teknologi yang berbeza dari mutiara air tawar. Tekniknya lebih kompleks dan sukar dihasilkan. Untuk pengetahuan semua, kebanyakan mutiara di sini dibawa dari Semporna. Oleh itu adalah baiknya sekiranya kalian dapat membelinya di bandar tersebut atau di bandar Tawau kerana harganya lebih murah.

Kelmarin aku berada di sebuah bandar pelabuhan yang pernah menjadi pusat pentadbiran negeri Borneo Utara sebelum berpindah ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) iaitu Sandakan. Ini kali kedua aku menjejakkan kakiku ke bandar yang pernah menggunakan nama Elopura sebagai nama rasmi. Dan ini juga kali kedua hajatku ingin melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan terbesar di dunia di Sepilok. Sandakan membawa maksud ‘tanah yang digadai’ di dalam bahasa Suluk. Ada cerita penting di sebalik nama Sandakan ini. Mengikut sejarah William Clarke Cowie, seorang penyeludup senjata api dari Glasgow, Scotland telah diberi keizinan oleh Sultan Sulu pada tahun 1870-an untuk mendirikan tapak perdagangan yang kecil. Ketika itu kawasan tersebut merupakan sebahagian dari jajahan Sultan Sulu yang turut merangkumi pulau-pulau di selatan Filipina kini. Cowie memberi nama Sandakan atas peristiwa tanah tersebut dipajakkan Sultan Sulu kepada Baron von Overbeck, konsul Austria-Hungary pada tahun 1878. Nama Sandakan itu sendiri telah beberapa kali bertukar mengikut penjajah yang mendudukinya. Selepas Cowie menamakannya Sandakan, ianya dikenali sebagai Kampung Jerman memandangkan terdapat ramai orang berbangsa Jerman menetap di sana ketika itu. Ianya kemudian bertukar nama lagi kepada Elopura atau Bandar Yang Cantik oleh Residen British ketika itu, William B. Pryer tetapi tidak lama dan bertukar kembali kepada Sandakan. Pada pendudukan Jepun, nama Elopura diguna semula sebelum kembali kepada nama Sandakan apabila British mengambil alih pemerintahan. Nama itu kekal dipakai sehingga sekarang.

Bagi diriku bandar menyimpan seribu satu kisah yang masih belum terungkai sehingga kini. Datuk sebelah ibuku yang berbangsa Bugis dan berasal dari Bone, Sulawesi pernah menetap di bandar ini kira-kira seratus tahun yang lepas. Beliau berkahwin dengan orang tempatan dan mempunyai seorang anak lelaki sebelum meninggalkan Sandakan menuju ke Johor tanpa sebab-sebab yang diketahui. Anak dan isterinya ditinggalkan di bandar pelabuhan ini. Kemudiannya datukku berkahwin dengan seorang perempuan tanpa dikurniakan cahayamata. Setelah isterinya meninggal dunia, beliau bernikah dengan nenekku yang berasal dari Kampung Glam, Singapura sebelum menetap, beranak pinak dan menjadi ketua kampung sehingga ke akhir hayatnya di Mukim Serkat, Pontian, Johor. Aku sendiri tidak pernah bertemu dengan datukku itu kerana beliau meninggal dunia pada tahun 1977 pada usia 109 tahun, setahun sebelum aku lahir ke dunia ini. Aku berjaya mengorek cerita-cerita datukku melalui arwah nenekku ketika hayatnya dan surat-surat lama yang kutemui di dalam simpanan nenekku. Kebanyakan surat-surat tersebut dihantar pada penghujung tahun 1890-an dan awal 1900-an dari alamat sekitar Semporna dan Sandakan. Pengirimnya ialah adik lelaki kepada datukku yang telah menetap di Semporna. Di dalam surat-surat tersebut kebanyakkannya menceritakan keperitan dan kesengsaraan hidup di sana bersama isteri dan anak. Adik datukku seringkali meminta dikirimkan wang ke sana untuk meneruskan hidup. Dia juga menyesali tidak dapat pulang ke Johor disebabkan masalah kewangan yang teruk. Ada juga disebut tentang perkahwinan datukku di Sandakan. Bagaimanapun surat itu menimbulkan seribu tanda tanya dan hanya tinggal misteri yang tidak terungkai sehingga kini lebih-lebih lagi nenekku telah meninggal dunia 3 tahun yang lalu. Surat-surat sebagai bukti utama datukku pernah menjejakkan kaki ke Sandakan itu juga hilang entah ke mana. Aku tidak dapat mencari ke mana perginya surat-surat tersebut kerana rumah pusaka peninggalan datuk dan nenekku juga telah musnah dirobohkan oleh sepupuku yang tidak bertanggunjawab!

5 Comments:

  • At 7:08 PM , Blogger Zuki Zain said...

    sayangnya! kemanalah agaknya surat-surat itu..

     
  • At 3:21 PM , Blogger Rush Murad said...

    eeermm..... sekiranya kau dapat semula surat2 tu, insyaAllah, semkain jauh ler langkah utk mencari sedara-mara di sana. kenapa tidak masuk dalam rancangan macam Jejak Kasih etc?... manlah tahu, dapat mempereratkan lagi silaturrahim yg terputus.... nenek dari kg. glam ek? apa pun.... kau dan aku, kena cari susur galur moyang kita di Sri Merlong tuuuu... harus sampai ke Kraton Solo di Jawa, ek?

     
  • At 9:41 AM , Blogger andhika tharuna said...

    ada seorang menteri di sabah dulu namanya ghani bin gilong. aku rasa dia mesti ada kaitan dengan datuk aku. datuk aku namanya gilong bin nohong...

     
  • At 9:41 AM , Blogger andhika tharuna said...

    ada seorang menteri di sabah dulu namanya ghani bin gilong. aku rasa dia mesti ada kaitan dengan datuk aku. datuk aku namanya gilong bin nohong...

     
  • At 6:28 PM , Blogger admin said...

    :) saya amat tertarik dengan entry saudara. semoga Allah mempertemukan saudara dengan keluarga di sabah. saya juga berbangsa bugis asal sabah

     

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home