andhika | tharuna

"sekelumit kisah [ SUKA & DUKA ] anak penghujung benua"

Sunday, November 25, 2007

Hari Minggu Yang Murung...


Hari ini tanggal 25 November 2007 bersamaan 15 Zulkaedah 1428 dengan lebih jelas lagi bermakna sudah hampir setahun aku tidak meng'update' blog aku ni. Sudah ramai teman-teman bertanya ke mana aku 'menghilang'. Mereka menantikan semula kemunculan cerita-cerita terbaru dariku. Kadangkala timbul rasa cemburu melihat blog-blog teman lain yang ternyata berjaya menarik ribuan pengujung di dunia maya ini membaca seribu satu cerita hasil nukilan mereka. Aku bukan kelesa nak menaip atau ketandusan idea sama sekali. Atau kekurangan cerita menarik untuk dipaparkan. Kalau nak diikutkan setiap hari berbagai cerita menarik boleh kutitipkan buat paparan kalian. Kadangkala kesibukan kerja dan pelbagai hal-hal lain membuatkan aku tidak punya banyak waktu untuk menulis lebih-lebih aku hanya bergantung harap pada capaian internet di kantorku sahaja. Alhamdulillah sekarang aku telah memasang talian internet di rumah serta memiliki laptop sendiri yang baruku beli kira-kira 3 minggu lepas. Hari ini aku gagahkan jua jari jemariku untuk menaip sekelumit nota buat pembuka bicara setelah 'bertapa' sekelian lama. Ini pun setelah dipujuk oleh seorang temanku agar menulis kembali...

Kedengaran sayup-sayup vokal Sharifah Zarina melantunkan lagu barunya, Harapan Berbunga Realiti menemani jari-jariku ini mencari aksara di papan kekunci komputer riba. Ada harapan lagu ini mengulangi kejayaan lagu berhantunya, Langit Ketujuh. Pada mulanya aku tidak berapa mengambil peduli tentang kehadiran lagu ini tetapi setelah berkemundang beberapa kali di corong radio, aku mula menyukainya. Antara bait-bait lirik nya...

biar berliku
menggapai cita dan cinta
tak seinci pun aku peduli
dugaan datang hampiri
kerna ku yakini cekal hati
agar harapan yang terindah ini
kan berbunga menjadi realiti

Aku sangat gemar dengan vokal penyanyi ini. Bunyinya agak fanatik tetapi bukan dia seorang sahaja yang aku gemari vokalnya malah ada beberapa nama lagi penyanyi di Malaysia ini yang termasuk di dalam senarai 'Vokal Kegemaran Andhika Tharuna'. Berbalik kepada lagu ini, ada persamaan lagu ini dengan perjalanan hidupku sekarang ini. Mungkin juga ianya ada persamaan dengan kisah orang lain. Itu tidak dinafikan. Setiap lagu yang dihasilkan mempunyai kisahnya tersendiri disebaliknya. Berkemungkinan ianya berkait rapat dengan penulis liriknya atau pun kepada si penyanyinya. Ada lagu dicipta dengan penuh emosi oleh penciptanya tanpa mengharap timbal balik dari pendengar. Dia begitu ikhlas dalam penciptaannya. Tujuan utamanya menambah satu lagi koleksi karya yang berkualiti dan boleh menjadi 'evergreen' sekiranya mampu. Gabungan mantap ciptaan melodi yang indah, lirik yang puitis dan suara emas sang pelantun lagu tersebut menghasilkan suatu karya yang amat berharga. Malangnya ada lagu yang begitu bagus dinyanyikan oleh penyanyi yang hanya layak di kategorikan penyanyi karaoke. Sayang sekali. Terdapat juga lagu yang bermelodi indah tetapi lirik yang tangkap muat sahaja. Di lain situasi, penyanyi yang bervokal mantap terpaksa menerima lagu yang langsung tidak sepadan dengan keupayaannya. Kasihan si penyanyi ini. Ada juga lagu dicipta sekadar suka-suka dan berharap bayaran tinggi semata-mata. Maka terhasillah sebuah lagu yang mungkin digemari ramai pendengar tetapi percayalah lagu-lagu sebegini tidak akan kekal lama di cuping-cuping telinga. Kerana apa? Kerana ianya dihasilkan dengan perasaan yang tidak jujur, dan mengharapkan ianya laku di pasaran semata-mata tanpa menghiraukan kualiti lagu tersebut. Banyak lagu-lagu sebegini terdapat di negara kita tetapi aku tidak akan menyenaraikannya. Kalian akan perasan contoh-contoh lagu yang aku maksudkan. Mengapa lagu-lagu karya Tan Sri P. Ramlee boleh menjadi 'evergreen'? Carilah sendiri jawapannya...

Ada pendapat mengatakan industri muzik di negara kita jauh ketinggalan berbanding dengan negara jiran kita, Indonesia. Aku setuju dengan pendapat ini tetapi bukan seratus peratus. Bukan jauh ketinggalan tetapi sedikit sahaja yang tinggalnya. Pada tenungan makrifatku, industri muzik di negara kita memiliki barisan karyawan dan penyanyi yang berkualiti serta setaraf dengan mereka di seberang malah ada yang lebih hebat! Bukan semua karyawan disana berkualiti tetapi kita di sini tidak perasan kerana hanya produk-produk berkualiti sahaja yang dibawa mereka ke sini. Kualiti lagu mereka dengan kita lebih kurang sama tetapi di mana kelebihan mereka? Ya, pada lirik-lirik lagu mereka. Aku telah lama perasan situasi ini kerana aku adalah golongan yang amat mencintai pada bahasa ibundaku. Jikalau kalian perhatikan, setiap lagu mereka menggunakan lirik yang begitu puitis disebabkan penggunaan tatabahasa, nahu dan susun perkataan yang amat menarik. Adakalanya perkataan tersebut jarang atau langsung kita tidak pernah dengar sebelum ini. Percayalah 99% dari perkataan yang digunakan ada terdapat di dalam Kamus Dewan edaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Mereka begitu kreatif di dalam penulisan lirik sehinggakan jikalau lagu tersebut berkisar tentang percintaan yang berakhir dengan kematian, para pendengar tanpa disedari menaburkan air mata ke pipi! Sungguh syahdu... Taktik para karyawan di sana amat mudah, menulis lirik di dalam Bahasa Melayu yang boleh difahami seluruh masyarakat di Nusantara, sama ada di negara mereka sendiri, di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Selatan Thailand, Selatan Filipina atau di mana-mana jua yang memahami bahasa yang tersenarai antara 10 bahasa paling ramai penuturnya di muka bumi ini. Sebab itu apabila kita menonton sinteron atau filem dari sana, kita memerlukan sarikata di bawah untuk memahaminya kerana dialek yang digunakan kadangkala terlalu pelik bunyinya tetapi tidak pada lagu-lagu mereka.

Apa kaitannya komen aku ini dengan situasi lagu di negara kita? Seperti yang kukatakan, komposisi melodi pada satu-satu lagu milik komposer negara kita tidak jauh bezanya dengan ciptaan dari seberang tetapi apa yang membuatkan ianya sedikit lemah ialah pada penulisan lirik. Kadangkala perkataan-perkataan yang digunakan pada sesuatu lagu seolah-olah dikitar semula dari lagu-lagu lain. Balik-balik penggunaan perkataan dan ayat yang sama di mana kita boleh kita temui pada lagu lain. Sayang sekali kadangkala ada lagu yang begitu hebat melodinya dicacatkan dengan gaya penulisan lirik yang ala-ala kadar sahaja. Ada juga lirik-lirik lagu yang menyelitkan perkataan-perkataan yang amat biasa digunakan di Indonesia dengan harapan lagu tersebut dapat diterima oleh pendengar di sana. Tetapi berjayakah mereka? Para penulis lirik seharusnya lebih kreatif di dalam penulisan mereka. Kamus Dewan boleh dijadikan rujukan kerana di dalamnya terkandung ribuan kata yang sekiranya diguna pakai boleh menghasilkan sebuah karya yang sungguh indah sekali. Ada perkataan yang sudah lama tidak diguna pakai dan amat jarang kedengaran oleh kita. Pengaruh sesebuah lagu amat besar, jika ada perkataan-perkataan lama yang diselitkan di dalam lagu tersebut ianya boleh mempopularkan kembali perkataan tersebut seperti perkataan 'teruja' dan 'terkasima' yang telah kembali digunapakai kebelakangan ini sedangkan ianya telah tersemat lama dia di dalam kamus sejak dahulu lagi.

Mungkin celoteh aku di takat ini dahulu. Aku perlu berkemas membuat persiapan untuk ke Kota Kinabalu dan Sandakan besok atas urusan kerja. Sampai bertemu lagi... Wassalam...

5 Comments:

  • At 11:31 PM , Blogger Aladdin a.k.a. Gustiadipati said...

    BRAVO.... Hope lepas balik fr KK nnt, dapat update citer2 yang bole kita kongsi bersama kalau bole ambik pic so bole kita share kenangan-kenangan Aidil... Keep it up.

    P/S: Nanti ajar abang ek (",)

     
  • At 11:33 PM , Blogger andhika tharuna said...

    thanks bro! doakanlah saya ni rajin2 update blog k!

     
  • At 12:33 AM , Blogger Zuki Zain said...

    Haah, mmg kita jauh ketinggalan dari segi idea, susunan muzik dan penulisan lirik. Tapi melodi lagu Malaysia lagi pelbagai dr Indon. Yg kurangnya kreativiti susunan muzik shj. Lepas ni rajin2 la update eh!

     
  • At 3:22 PM , Blogger Rush Murad said...

    Macam tak percaya jer kau yg menulis komentar sedemikian rupa kat dalam blog ni!!!!! Is this the other side of u yg aku tak kenal? keep blogging... you will meet a lot of nice people... believe me.

    p/s: kau refer kat blog aku yg popular dan ramai pengunjung tu ker? :)

     
  • At 8:39 PM , Blogger andhika tharuna said...

    utk aladdin, semoga cepat sembuh...

     

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home