Sejarah Puasa Ramadhan
Puasa adalah suatu ibadah yang telah lama dilakukan oleh manusia sebelum Islam. Hal ini diingatkan di dalam ayat 183 surah Al-Baqarah maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."
Al-Qurtubi di dalam tafsirnya "Al-JamiÕ li Akhamul Quran" menjelaskan bahawa Allah telah memfardukan atas umat Musa dan Isa Alaihissalam berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi kemudiannya mereka mengubah dengan menambah sepuluh hari lagi sebagai membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit maka jadilah puasa orang-orang nasrani empat puluh hari.
Kesukaran berpuasa Ramadhan di musim panas akhirnya mereka memindanya pula ke musim sejuk. Manakala pendita yang lain pula bernazar jika dia sembuh dari sakit mulutnya beliau akan menambah sepuluh hari lagi hinggalah puasa mereka menjadi lima puluh hari.
Diriwayatkan daripada Imam Mujahid bahawa Allah telah memfardukan puasa ke atas setiap umat. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kata-kata Rashid Ridha bahwa "puasa ini pernah dilakukan oleh orang-orang Arab sebelum Islam". Diriwayatkan daripada 'Aisyah r.a. bahawa orang-orang Quraisy berpuasa pada hari 'Asyura.
Setelah Nabi berhijrah ke Madinah, Nabi s.a.w. mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka nabi turut berpuasa beserta dengan sahabat-sahabat lain.
Pada akhir Sya'ban tahun yang kedua Hijrah Allah menurunkan ayat-ayat yang mewajibkan puasa 183,184,185 dari surah Al-Baqarah. Setelah puasa Ramadhan difardukan, Rasulullah s.a.w. bersabda tentang puasa Asyura yang dilakukan sebelum itu yang bermaksud:
"Barang siapa yang ingin berpuasa pada hari "Syura" maka puasalah dan barang siapa yang hendak berbuka maka berbukalah".
Rasulullah s.a.w. berpuasa Ramadhan selama hidupnya sebanyak sembilan kali. Lapan kali dengan dua puluh sembilan hari dan sekali sahaja puasa penuh tiga puluh hari. Mengikut riwayat yang lain sebanyak dua kali puasa penuh tiga puluh hari.
Menurut pendapat yang masyhur di kalangan Umat Islam bahawa puasa itu diwajibkan atas segala pemeluk agama. Bangsa Mesir yang menyembah berhala berpusa, bangsa Yunani memastikan setiap lelaki dan perempuan mereka berpuasa demikian juga dengan bangsa Romawi dan orang-orang Hindu terus menerus berpuasa sehingga kini.
Ada dinyatakan di dalam kitab taurat bahawa puasa difardukan ke atas orang-orang Yahudi pada hari yang ke sepuluh di bulan yang ke tujuh iaitu yang dinamakan hari 'Asyura. Mereka berpuasa siang dan malam.
Puasa yang termasyur bagi orang-orang Nasrani pula ialah puasa sebelum "Iedil Fishi" iaitu hari memperingati bangunannya Al-Masih dari kubur.
Itulah di antara puasa yang dilakukan sebelum Islam iaitu puasa yang dipraktikkan oleh Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. dan para Hawari tetapi ianya dipinda dan ditambah oleh ketua-ketua gereja dengan berpuasa yang lain dan dalam bentuknya yang lain, ada yang berpuasa daripada memakan daging, telor, ikan, susu dan sebagainya.
Semua situasi di atas adalah jauh bezanya dengan puasa yang difardukan ke atas umat Muhammad s.a.w. Puasa yang dilakukan bukan kerana memperingati sesuatu peristiwa atau berpantang daripada satu-satu jenis makanan dan bukan pula kerana nazar yang tidak disyariatkan. Tetapi puasa pula disyariatkan oleh Allah dengan tujuan melatih hambaNya supaya bertakwa kepadanya sepertimana yang disebut di dalam firmanNya maksudnya:
"Mudah-mudahan kamu bertakwa."
Inilah natijah yang ingin dilahirkan oleh puasa yang telah disyariatkan dan Allah menyatakan di dalam sebuah hadis Qudsi maksudnya: "Setiap amalan Bani Adam itu adalah untuknya melainkan puasa ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya".
(sumber dari http://baheis.islam.gov.my/)