andhika | tharuna

"sekelumit kisah [ SUKA & DUKA ] anak penghujung benua"

Thursday, February 21, 2008

Catatan 3 Hari 2 Malam


Aku sampai ke pintu rumah dari Pulau Pinang kira-kira jam 6 petang tadi. Lazimnya aku menaiki kapal terbang ke sana tetapi kali ini aku menaiki kereta jabatan. Perjalanan yang jauh sememangnya meletihkan walaupun aku tidak memandu. Dalam perjalanan pulang siang tadi sempat juga aku singgah membeli jambu air di Hentian R&R Tapah.


Cacing Di Bilik Mandi!

3 hari 2 malam di sana, banyak juga cerita menarik ingin aku kongsikan. Pertama mengenai hotel tempat aku menginap. Aku memilih 1926 Heritage Hotel sekali lagi seperti kedatanganku sebelum ini. Aku sedang menonton tv selepas 'check-in' tiba-tiba dimaklumkan teman sebilik bahawa terdapat kebocoran paip di dalam bilik mandi. Aku buat endah tak endah sahaja kerana beranggapan ianya tidaklah seteruk mana pun. Selang beberapa ketika aku baru sedar dek kerana khayal menonton tv, rupa-rupanya temanku telah 'selamat belayar' di atas katilnya. Aku terus ke bilik air untuk 'menunaikan hajat'. Memang benar ada paip bocor yang agak serius! Kalau dibiarkan, alamat boleh banjir bilik aku! Sambil sibuk mencari sumber kebocoran paip tersebut, aku terpandang lantai bilik air tersebut yang agak kotor seolah-olah dipenuhi rumput dan lumpur dari padang bola gamaknya. Aku teliti lagi... eh ada cacinglah! Banyak betul cacing-cacing halus berwarna merah berserakan di atas lantai yang becak tersebut! Apasal pulak jadi macam ni? 'Cleaner' tak datang bersihkan atau buat 'housekeeping' ke? Dahlah paip bocor, ada cacing lak tu! Tanpa lengah-lengah lagi, aku ambil kepala paip dan halakan ke lantai tetapi oleh kerana paip bocor, tekanan air menjadi rendah menyebabkan niat aku nak membersihkan kotoran tersebut terbantut. Hanya cacing-cacing merah itu sahaja yang berjaya aku bersihkan...

Aku memaklumkan tentang masalah tersebut kepada pihak pengurusan hotel. Tidak lama kemudian 'rombongan cik kiah' menyerbu bilikku untuk membuat apa yang patut. Nampaknya pekerja-pekerja yang membersihkan bilik air ragu-ragu dengan ceritaku mengenai cacing lebih-lebih lagi bukti kehadiran cacing tersebut telah habis aku cuci tadi. Dipendekkan cerita kami dipindahkan ke bilik lain selang beberapa pintu dari bilik yang asal. Wakil pihak pengurusan, seorang wanita Punjabi yang fasih berbahasa Melayu meminta maaf atas apa yang berlaku. Dia nampaknya begitu ikhlas sekali membantu kami berpindah bilik. Aku dan teman sebilik meninggalkan mereka dengan kerja mereka menuju ke bilik baru. Aku kembali semula ke bilik lama setelah menyedari aku tertinggal jam tangan. Belum pun sampai ke pintu bilik tersebut, aku terdengar wanita Punjabi tadi sedang mengumpat dengan pekerja-pekerja pembersihan berbangsa Indonesia dan Bangladesh mengenai aku. Dari perbualan mereka nampaknya seolah-olah menuduh aku mereka-reka cerita tentang cacing! Astaga, takkanlah aku nak mereka-reka cerita semata-mata nak berpindah bilik?! Apa yang aku dapat? Demi terpandang saja aku tercegat di hadapan mereka, topik yang dibincangkan terus ditukar! Wajah-wajah mereka pucat lesi! Aku malas nak panjangkan cerita, aku ambil jam tanganku dan terus berlalu sambil memandang mereka dan berkata, "Jumpa ke cacing-cacing tu?"


Rasa Macam Dalam Sampan!

Hari kedua (20 Februari 2008) aku berpindah ke Hotel Merchant di tengah-tengah Bandaraya Georgetown. Aku sampai di sana kira-kira jam 4 petang. Bilik aku di tingkat 9. Baru saja aku buka pintu bilik tiba-tiba aku rasa melayang. Macam orang pusing kepala! Lepas tu aku tengok pintu dan beralatan di dalam bilik berayun seolah-olah berada di dalam sampan yang terolek-olek di atas laut! Kemudian temanku menjerit mengajakku berlari turun ke bawah. Gempa bumi ni! Aku bergerak pantas keluar dari bilik sambil membawa semua barang-barang menuju ke lif. Aku lihat alat-alat pemadam api dan bingkai-bingkai gambar yang tergantung di luar bilik semuanya berayun! Sampai di lobi, rupanya sudah ramai yang turun. Ni mesti ada gempa bumi atau tsunami di Sumatera fikirku. Malam itu, Buletin Utama menyiarkan bahawa terdapat gempa bumi berlaku di Sumatera. 3 orang mati dan ramai yang cedera.

Tuesday, February 19, 2008

Berita Sedih Dari Kampung...

Saat ini aku berada di Pulau Pinang, lebih tepat lagi 1926 Heritage Hotel di Jalan Burmah. Baru sampai tengahari tadi. Ermm, biasalah atas urusan kerja...

Aku terima panggilan dari ibunda tercinta ketika aku sedang lepak bersama teman sepejabat di kedai mamak sekitar Persiaran Gurney. Suara ibuku tersekat-sekat sebelum kedengaran dia menangis teresak-esak. Jantungku tiba-tiba berdebar-debar. "Naper mak?" Dia lambat menjawab, yang kudengar hanyalah suara tangisannya tidak henti-henti. "Benny dah mati, nak..." Aku terkedu seketika. Gelas berisi teh halia yang ku genggam kuletak kembali di atas meja. Teman dihadapanku merenung tajam kearahku seolah-olah ingin mengetahui apa isi cerita yang sedang kubincangkan di dalam telefon...

Benny Alfira Nasution Ramos! Begitulah nama glamour yang kuberikan kepada kucing siam pemberian temanku di Putra Height pertengahan tahun lalu. Pada mulanya aku agak keberatan membela kucing yang kurus kering dan berkudis di bahagian peha itu. Dahlah diri sendiri tak terbela, inikan nak bela kucing! Masih teringat lagi kata-kata temanku bila aku bercerita tentang 'belaan' baruku itu. Benny agak payah menyesuaikan diri tinggal di rumahku pada awalnya. Almaklumlah rumah pangsapuri... Mungkin dia sudah biasa bermain di halaman rumah sebelum ini. Aku membela Benny dengan penuh kasih sayang. Seminggu sekali aku mandikan dia. Makan minumnya kelihatan lebih mewah dari tuannya sendiri! Lama kelamaan Benny nampak selesa tinggal denganku. Dia sangat cergas dan lincah sekali. Segenap ruang di dalam rumah kecilku menjadi taman permainannya. Ada sesekali aku terjumpa ekor cicak yang putus bersepah di atas permaidani. Adakala aku ternampak bangkai-bangkai sang lipas di ceruk-ceruk rumah. Itu semua kerja Benny! Paling tidak dapat kulupa bagaimana hebatnya dia menangkap sibur-sibur yang sedang terbang tinggi!

Ada satu peristiwa paling tidak dapat kulupakan. Kalau tidak silap ianya berlaku dalam bulan Ogos tahun lalu. Ketika itu aku sedang bersiap untuk ke Kuching, Sarawak. Aku bercadang menumpangkan Benny di rumah teman tidak jauh dari rumahku. Setelah memasukkan semua barang-barangku ke dalam kereta tiba giliran si Benny pula. Dia duduk diam di dalam kereta. Aku buka sedikit cermin agar dia tidak lemas. Selepas itu aku naik semula ke rumah untuk mengambil sangkar dan makanannya. Sampai di kereta semula, aku dapati Benny telah lesap! Puas aku panggil namanya tapi senyap tanpa jawapan. Aku selongkar setiap ceruk kereta namun hampa. Mana perginya dia ni? Takkan dia boleh keluar dari ruang cermin yang kecil ni? Bawah kerusi tiada, di dalam but pun tiada. Aku jadi tak keruan. Aku berjalan kaki serata taman perumahanku memanggil namanya. Beberapa orang ku temui ku tanyakan sama ada terlihat kucing siam yang comel itu. Mereka hanya menggelengkan kepala. Memang pasti dia telah hilang! Disebabkan tidak mahu ketinggalan kapal terbang, aku terus memandu menuju ke Stesyen ERL Putrajaya. Sambil memandu, bermacam-macam andaian aku fikirkan tentang kehilangan Benny. Aku telefon ibuku di kampung memaklumkan kejadian itu.

Hari kelima aku di Bumi Kenyalang. Lebih tepat lagi di Bintulu. Aku terima panggilan dari ibu. Suaranya lain dari biasa. Dipendekkan cerita, ibuku menerima kunjungan beberapa orang pegawai polis dari Balai Polis Kukup di tempat kerjanya. Mereka mendapat arahan dari Balai Polis Putrajaya supaya mejejaki alamat pemilik kenderaan bernombor flet JFT... Mereka menerima aduan dari orang awam yang melalui tempat meletak kenderaan di Stesyen ERL Putrajaya tentang "Penyeksaan Haiwan Paling Kejam di Putrajaya!"

Aku pulang ke Putrajaya keesokkannya. Di cermin keretaku penuh dengan nota yang memaki hamunku! 'Tidak berhati perut!', 'Manusia kejam!' dan bermacam-macam lagi bahasa kesat yang menyesali tindakanku. Rupa-rupanya Benny terperangkap di dalam kereta sejak aku sedar kehilangannya 6 hari sebelum itu! Benny hanya dapat dikeluarkan pada hari kelima oleh polis-polis Putrajaya dalam keadaan lemah. Orang ramai yang melalui kawasan tersebut menyangkakan aku sengaja mendera Benny dengan menjemurnya di tengah terik matahari! Oh tidak sekali-kali! Bagaimana dia boleh hidup selama 5 hari tanpa makan dan minum ditambah pula di bawah panas mentari? Kuasa Tuhan...

Kini Benny benar-benar telah tiada. Dia yang kuhantar ke kampung pada Hari Raya Puasa yang lepas sudah sampai masa meninggalkan kami sekeluarga. Ibuku yang paling sedih. Benny bersama 'abang angkatnya' Emil lah menjadi peneman ibuku yang kesepian di kampung selama ini. Dia telah hilang dari semalam sebelum jiran ibuku terjumpa bangkainya di tepi jalan. Hanya bahagian kakinya yang pernah berkudis dahulu dijumpai....

Gambar terakhir Benny beberapa sebelum dia menemui ajalnya...


Ni juga antara aksi terakhir Benny bersama Emil...


Benny dalam ribaan tuannya...


Macam belangkas, tidur pun nak bersama...

Tuesday, February 05, 2008

Berserah - Taufik Batisah


Gerhana meliputi segala
Tiada lagi sinaran cahaya
Keinginan tanpa kepastian
Tak mampu rasanya ku teruskan
Ku meneruskan

Biarlah, ku relakan segala
walau hidupku sebuah tanda tanya
Mengapa...
Biarpun tak mampuku bertahan
Takkan pernah ku akui kalah

Masih terdampar ku disini
Tiada jalan mungkin ku lalui
Haruskah hidupku dipersenda
Mengharungi dugaan melanda
Ku berserah

Biarlah ku relakan segala
Walau hidupku sebuah tanda tanya
Mengapa...
Biarpun tak mampu ku bertahan
Takkan pernah ku akui kalah

Tuhanku ku relakan segala
Takkan pernah ku akui kalah
Ku percaya ku yakin pada-Nya
Dia yang menentukan semua
Ku berserah…

Monday, February 04, 2008

Agenda Penting 2008


Sebenarnya tahun 2008 ni macam-macam agenda ada dalam benak aku ni nak buat. Paling utama nak bebaskan diri dari hutang-piutang yang melilit macam tali pinggang sekarang ni! Seksanya banyak hutang kan? Sana hutang sini hutang... Macam lagu Salleh Yaakob, Gali Lubang Tutup Lubang lak! Insyaallah, doakanlah misi penting tahun ni berjaya!

Agenda kedua, ketiga dan seterusnya masih menjadi rahsia! Huhuhu... Yang penting ianya masih berkait rapat dengan duit! Kata orang buat apa banyak duit tapi hati tak senang... betul tak? Tapi hati lagi tak senang kalau takde duit. Hidup di dalam dunia yang serba serbi moden ni, duit perkara utama tapi jangan sampai jadi hamba duit...


Nilah kawan rapat aku masa kat sekolah form 4-5 dulu, Saiful Bahari namanya... Orang Segamat. Lepak dengan dia kat Concorde beberapa minggu lepas... Bakal usahawan berjaya dia ni sekarang... Bila jumpa dia pasti teringat zaman-zaman dok kat asrama dulu. Selamat berjaya Saiful!