andhika | tharuna

"sekelumit kisah [ SUKA & DUKA ] anak penghujung benua"

Thursday, February 21, 2008

Catatan 3 Hari 2 Malam


Aku sampai ke pintu rumah dari Pulau Pinang kira-kira jam 6 petang tadi. Lazimnya aku menaiki kapal terbang ke sana tetapi kali ini aku menaiki kereta jabatan. Perjalanan yang jauh sememangnya meletihkan walaupun aku tidak memandu. Dalam perjalanan pulang siang tadi sempat juga aku singgah membeli jambu air di Hentian R&R Tapah.


Cacing Di Bilik Mandi!

3 hari 2 malam di sana, banyak juga cerita menarik ingin aku kongsikan. Pertama mengenai hotel tempat aku menginap. Aku memilih 1926 Heritage Hotel sekali lagi seperti kedatanganku sebelum ini. Aku sedang menonton tv selepas 'check-in' tiba-tiba dimaklumkan teman sebilik bahawa terdapat kebocoran paip di dalam bilik mandi. Aku buat endah tak endah sahaja kerana beranggapan ianya tidaklah seteruk mana pun. Selang beberapa ketika aku baru sedar dek kerana khayal menonton tv, rupa-rupanya temanku telah 'selamat belayar' di atas katilnya. Aku terus ke bilik air untuk 'menunaikan hajat'. Memang benar ada paip bocor yang agak serius! Kalau dibiarkan, alamat boleh banjir bilik aku! Sambil sibuk mencari sumber kebocoran paip tersebut, aku terpandang lantai bilik air tersebut yang agak kotor seolah-olah dipenuhi rumput dan lumpur dari padang bola gamaknya. Aku teliti lagi... eh ada cacinglah! Banyak betul cacing-cacing halus berwarna merah berserakan di atas lantai yang becak tersebut! Apasal pulak jadi macam ni? 'Cleaner' tak datang bersihkan atau buat 'housekeeping' ke? Dahlah paip bocor, ada cacing lak tu! Tanpa lengah-lengah lagi, aku ambil kepala paip dan halakan ke lantai tetapi oleh kerana paip bocor, tekanan air menjadi rendah menyebabkan niat aku nak membersihkan kotoran tersebut terbantut. Hanya cacing-cacing merah itu sahaja yang berjaya aku bersihkan...

Aku memaklumkan tentang masalah tersebut kepada pihak pengurusan hotel. Tidak lama kemudian 'rombongan cik kiah' menyerbu bilikku untuk membuat apa yang patut. Nampaknya pekerja-pekerja yang membersihkan bilik air ragu-ragu dengan ceritaku mengenai cacing lebih-lebih lagi bukti kehadiran cacing tersebut telah habis aku cuci tadi. Dipendekkan cerita kami dipindahkan ke bilik lain selang beberapa pintu dari bilik yang asal. Wakil pihak pengurusan, seorang wanita Punjabi yang fasih berbahasa Melayu meminta maaf atas apa yang berlaku. Dia nampaknya begitu ikhlas sekali membantu kami berpindah bilik. Aku dan teman sebilik meninggalkan mereka dengan kerja mereka menuju ke bilik baru. Aku kembali semula ke bilik lama setelah menyedari aku tertinggal jam tangan. Belum pun sampai ke pintu bilik tersebut, aku terdengar wanita Punjabi tadi sedang mengumpat dengan pekerja-pekerja pembersihan berbangsa Indonesia dan Bangladesh mengenai aku. Dari perbualan mereka nampaknya seolah-olah menuduh aku mereka-reka cerita tentang cacing! Astaga, takkanlah aku nak mereka-reka cerita semata-mata nak berpindah bilik?! Apa yang aku dapat? Demi terpandang saja aku tercegat di hadapan mereka, topik yang dibincangkan terus ditukar! Wajah-wajah mereka pucat lesi! Aku malas nak panjangkan cerita, aku ambil jam tanganku dan terus berlalu sambil memandang mereka dan berkata, "Jumpa ke cacing-cacing tu?"


Rasa Macam Dalam Sampan!

Hari kedua (20 Februari 2008) aku berpindah ke Hotel Merchant di tengah-tengah Bandaraya Georgetown. Aku sampai di sana kira-kira jam 4 petang. Bilik aku di tingkat 9. Baru saja aku buka pintu bilik tiba-tiba aku rasa melayang. Macam orang pusing kepala! Lepas tu aku tengok pintu dan beralatan di dalam bilik berayun seolah-olah berada di dalam sampan yang terolek-olek di atas laut! Kemudian temanku menjerit mengajakku berlari turun ke bawah. Gempa bumi ni! Aku bergerak pantas keluar dari bilik sambil membawa semua barang-barang menuju ke lif. Aku lihat alat-alat pemadam api dan bingkai-bingkai gambar yang tergantung di luar bilik semuanya berayun! Sampai di lobi, rupanya sudah ramai yang turun. Ni mesti ada gempa bumi atau tsunami di Sumatera fikirku. Malam itu, Buletin Utama menyiarkan bahawa terdapat gempa bumi berlaku di Sumatera. 3 orang mati dan ramai yang cedera.

Tuesday, February 19, 2008

Berita Sedih Dari Kampung...

Saat ini aku berada di Pulau Pinang, lebih tepat lagi 1926 Heritage Hotel di Jalan Burmah. Baru sampai tengahari tadi. Ermm, biasalah atas urusan kerja...

Aku terima panggilan dari ibunda tercinta ketika aku sedang lepak bersama teman sepejabat di kedai mamak sekitar Persiaran Gurney. Suara ibuku tersekat-sekat sebelum kedengaran dia menangis teresak-esak. Jantungku tiba-tiba berdebar-debar. "Naper mak?" Dia lambat menjawab, yang kudengar hanyalah suara tangisannya tidak henti-henti. "Benny dah mati, nak..." Aku terkedu seketika. Gelas berisi teh halia yang ku genggam kuletak kembali di atas meja. Teman dihadapanku merenung tajam kearahku seolah-olah ingin mengetahui apa isi cerita yang sedang kubincangkan di dalam telefon...

Benny Alfira Nasution Ramos! Begitulah nama glamour yang kuberikan kepada kucing siam pemberian temanku di Putra Height pertengahan tahun lalu. Pada mulanya aku agak keberatan membela kucing yang kurus kering dan berkudis di bahagian peha itu. Dahlah diri sendiri tak terbela, inikan nak bela kucing! Masih teringat lagi kata-kata temanku bila aku bercerita tentang 'belaan' baruku itu. Benny agak payah menyesuaikan diri tinggal di rumahku pada awalnya. Almaklumlah rumah pangsapuri... Mungkin dia sudah biasa bermain di halaman rumah sebelum ini. Aku membela Benny dengan penuh kasih sayang. Seminggu sekali aku mandikan dia. Makan minumnya kelihatan lebih mewah dari tuannya sendiri! Lama kelamaan Benny nampak selesa tinggal denganku. Dia sangat cergas dan lincah sekali. Segenap ruang di dalam rumah kecilku menjadi taman permainannya. Ada sesekali aku terjumpa ekor cicak yang putus bersepah di atas permaidani. Adakala aku ternampak bangkai-bangkai sang lipas di ceruk-ceruk rumah. Itu semua kerja Benny! Paling tidak dapat kulupa bagaimana hebatnya dia menangkap sibur-sibur yang sedang terbang tinggi!

Ada satu peristiwa paling tidak dapat kulupakan. Kalau tidak silap ianya berlaku dalam bulan Ogos tahun lalu. Ketika itu aku sedang bersiap untuk ke Kuching, Sarawak. Aku bercadang menumpangkan Benny di rumah teman tidak jauh dari rumahku. Setelah memasukkan semua barang-barangku ke dalam kereta tiba giliran si Benny pula. Dia duduk diam di dalam kereta. Aku buka sedikit cermin agar dia tidak lemas. Selepas itu aku naik semula ke rumah untuk mengambil sangkar dan makanannya. Sampai di kereta semula, aku dapati Benny telah lesap! Puas aku panggil namanya tapi senyap tanpa jawapan. Aku selongkar setiap ceruk kereta namun hampa. Mana perginya dia ni? Takkan dia boleh keluar dari ruang cermin yang kecil ni? Bawah kerusi tiada, di dalam but pun tiada. Aku jadi tak keruan. Aku berjalan kaki serata taman perumahanku memanggil namanya. Beberapa orang ku temui ku tanyakan sama ada terlihat kucing siam yang comel itu. Mereka hanya menggelengkan kepala. Memang pasti dia telah hilang! Disebabkan tidak mahu ketinggalan kapal terbang, aku terus memandu menuju ke Stesyen ERL Putrajaya. Sambil memandu, bermacam-macam andaian aku fikirkan tentang kehilangan Benny. Aku telefon ibuku di kampung memaklumkan kejadian itu.

Hari kelima aku di Bumi Kenyalang. Lebih tepat lagi di Bintulu. Aku terima panggilan dari ibu. Suaranya lain dari biasa. Dipendekkan cerita, ibuku menerima kunjungan beberapa orang pegawai polis dari Balai Polis Kukup di tempat kerjanya. Mereka mendapat arahan dari Balai Polis Putrajaya supaya mejejaki alamat pemilik kenderaan bernombor flet JFT... Mereka menerima aduan dari orang awam yang melalui tempat meletak kenderaan di Stesyen ERL Putrajaya tentang "Penyeksaan Haiwan Paling Kejam di Putrajaya!"

Aku pulang ke Putrajaya keesokkannya. Di cermin keretaku penuh dengan nota yang memaki hamunku! 'Tidak berhati perut!', 'Manusia kejam!' dan bermacam-macam lagi bahasa kesat yang menyesali tindakanku. Rupa-rupanya Benny terperangkap di dalam kereta sejak aku sedar kehilangannya 6 hari sebelum itu! Benny hanya dapat dikeluarkan pada hari kelima oleh polis-polis Putrajaya dalam keadaan lemah. Orang ramai yang melalui kawasan tersebut menyangkakan aku sengaja mendera Benny dengan menjemurnya di tengah terik matahari! Oh tidak sekali-kali! Bagaimana dia boleh hidup selama 5 hari tanpa makan dan minum ditambah pula di bawah panas mentari? Kuasa Tuhan...

Kini Benny benar-benar telah tiada. Dia yang kuhantar ke kampung pada Hari Raya Puasa yang lepas sudah sampai masa meninggalkan kami sekeluarga. Ibuku yang paling sedih. Benny bersama 'abang angkatnya' Emil lah menjadi peneman ibuku yang kesepian di kampung selama ini. Dia telah hilang dari semalam sebelum jiran ibuku terjumpa bangkainya di tepi jalan. Hanya bahagian kakinya yang pernah berkudis dahulu dijumpai....

Gambar terakhir Benny beberapa sebelum dia menemui ajalnya...


Ni juga antara aksi terakhir Benny bersama Emil...


Benny dalam ribaan tuannya...


Macam belangkas, tidur pun nak bersama...

Tuesday, February 05, 2008

Berserah - Taufik Batisah


Gerhana meliputi segala
Tiada lagi sinaran cahaya
Keinginan tanpa kepastian
Tak mampu rasanya ku teruskan
Ku meneruskan

Biarlah, ku relakan segala
walau hidupku sebuah tanda tanya
Mengapa...
Biarpun tak mampuku bertahan
Takkan pernah ku akui kalah

Masih terdampar ku disini
Tiada jalan mungkin ku lalui
Haruskah hidupku dipersenda
Mengharungi dugaan melanda
Ku berserah

Biarlah ku relakan segala
Walau hidupku sebuah tanda tanya
Mengapa...
Biarpun tak mampu ku bertahan
Takkan pernah ku akui kalah

Tuhanku ku relakan segala
Takkan pernah ku akui kalah
Ku percaya ku yakin pada-Nya
Dia yang menentukan semua
Ku berserah…

Monday, February 04, 2008

Agenda Penting 2008


Sebenarnya tahun 2008 ni macam-macam agenda ada dalam benak aku ni nak buat. Paling utama nak bebaskan diri dari hutang-piutang yang melilit macam tali pinggang sekarang ni! Seksanya banyak hutang kan? Sana hutang sini hutang... Macam lagu Salleh Yaakob, Gali Lubang Tutup Lubang lak! Insyaallah, doakanlah misi penting tahun ni berjaya!

Agenda kedua, ketiga dan seterusnya masih menjadi rahsia! Huhuhu... Yang penting ianya masih berkait rapat dengan duit! Kata orang buat apa banyak duit tapi hati tak senang... betul tak? Tapi hati lagi tak senang kalau takde duit. Hidup di dalam dunia yang serba serbi moden ni, duit perkara utama tapi jangan sampai jadi hamba duit...


Nilah kawan rapat aku masa kat sekolah form 4-5 dulu, Saiful Bahari namanya... Orang Segamat. Lepak dengan dia kat Concorde beberapa minggu lepas... Bakal usahawan berjaya dia ni sekarang... Bila jumpa dia pasti teringat zaman-zaman dok kat asrama dulu. Selamat berjaya Saiful!

Friday, January 11, 2008

Samudera


Nyanyikan ku gemuruh irama
Melewati hamparan hati
Ku menanti sejuta suara
Yang memanggilku serikandi

Di pasak mayapada
Akan aku gegarkan
Embun azimat nan sakti
Dan bercurah awanan
Akan aku luruhkan
Menitis emas menghujan

Ku serakkan pautan kiambang
Sebelum ku jejaki gelombang

Jika tak ku temu kekuatan
Ku ratib semangat kebangkitan
Lautan bergelora
Tidak gentar ku rempuhi

Pelayaranku, biar tenggelam tak melara
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera
Sinarnya membelah samudera

Cahaya lantera yang ku bawa
Mengharungi perjalananku
Lindung dari badai dan prahara
Tetap bertahan sanubari

Ku serakkan pautan kiambang
Sebelum ku jejaki gelombang

Jika tak ku temu kekuatan
Ku ratib semangat kebangkitan
Lautan bergelora
Tidak gentar ku rempuhi

Pelayaranku, biar tenggelam tak melara
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera

Jika tak ku temu kekuatan
Ku ratib semangat kebangkitan
Lautan bergelora
Tidak gentar ku rempuhi

Pelayaranku, biar tenggelam tak melara
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera
Perjuanganku, sinarnya membelah samudera


Penyanyi : Nora Ariffin
Lagu : Johan Nawawi
Lirik : Ahmad Fedtri Yahya


Thursday, January 10, 2008

Mengenali Nabi Muhammad S.A.W. Secara Lahiriah



Hari ini tanggal 1 Muharram 1429 dalam kalendar atau takwim Hijrah. Salam Maal Hijrah diucapkan. Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu yang telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah S.A.W. untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam. Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada Rasul-Nya dan agama Islam ditegakkan. Aku tidak akan bercerita mengenai peristiwa hijrah Rasul kesayangan umat Islam itu tetapi mari kita hayati sedikit keperibadian Nabi terakhir yang diutuskan kepada manusia dari segi lahiriah. Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan orang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keislaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.



D
i antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

  • Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah.
  • Aku melihat cahaya dari lidahnya..
  • Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
  • Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
  • Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
  • Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
  • Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
  • Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
  • Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
  • Wajahnya seperti bulan purnama.
  • Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah ditengahnya.
  • Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
  • Mata baginda hitam,dengan bulu mata yang panjang.
  • Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
  • Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
  • Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
  • Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
  • Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
  • Janggutnya penuh dan tebal menawan.
  • Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca Warna lehernya putih seperti perak sangat indah.
  • Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
  • Rambutnya sedikit ikal.
  • Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
  • Rambutnya terbelah di tengah.
  • Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
  • Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
  • Seimbang antara kedua bahunya.
  • Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
  • Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
  • Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. Kakinya berisi tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
  • Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
  • Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
  • Warna putihnya lebih banyak.
  • Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
  • Warna kulitnya putih tapi sihat.
  • Kulitnya putih lagi bercahaya.
  • Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
  • Badannya tidak gemuk.
  • Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
  • Perutnya tidak buncit.
  • Badannya cenderung kepada tinggi,semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

K
ESIMPULANNYA :

N
abi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Semulia-mulia insan di dunia...


u
ntuk mengingatkan kita...
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah
tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"."Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,"tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakan tangisnya.

M
alaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut bersama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. "Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua surga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"
Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan surga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril. Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang."Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini."

P
erlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku. "Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.

B
ibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis-shalaati, wamaa malakat aimaanukum - peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar, pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. "Ummatii, ummatii, ummatiii!" - "Umatku, umatku, umatku".

D
an, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allaahumma sholli 'alaa Muhammad wa'alaihi wasahbihi wasallim. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Tuesday, January 08, 2008

Kompleks Mahkamah Pulau Pinang













Tinggalan Kolonial Pulau Mutiara


Belum terlambat lagi ingin aku ucapkan Selamat Tahun Baru 2008! Lama juga aku tak 'update' blog aku ni. Bukan apa, tak sempat aku nak menulis disebabkan banyak kerja luar...

Hari kedua di tahun baru aku sudah berada di Pulau Pinang atas urusan kerja. Rasanya belum pun 2 bulan lepas aku ke sana. Kalau terlalu kerap kita ke sesuatu tempat, mesti timbul rasa bosan di dalam kepala. Untuk merasai kelainan, aku sengaja memilih hotel yang agak jauh sedikit dari pusat bandar. Kali ini 1926 Heritage Hotel di Jalan Burma menjadi tempat aku menginap. Kali pertama melihat imej bangunan hotel ini di dalam Internet, aku sudah jatuh cinta! Sungguh klasik! Tiba di sana pada awal pagi 2 Januari 2008 membuatkanku tersenyum lebar. Kagum terhadap senibina lama yang terpampang di depan mata. Menurut sejarah bangunan tersebut asalnya merupakan kuarters kerajaan sebelum dijadikan hotel. Bagi yang menggemari suasana ala kolonial di samping sewa hotel yang berpatutan bolehlah ke sini...